MAULID NABI MUHAMMAD SAW

Tanggal 12 Rabiulawal dalam tahun Hijrah merupakah tarikh yang diraikan oleh setiap umat Islam diseluruh dunia. Ia merupakan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW. Kelahiran Nabi SAW merupakan rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa tarikh kewafatan Rasululullah SAW juga berlaku pada 12 Rabiulawal iaitu pada 11 Hijrah/632M seperti yang diriwayatkan oleh sebahagian besar ahli sejarah. Sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang diterima sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW.

Namun harus diingat, pada masa umat Islam beriya-beriya untuk menjayakan sambutan Maulidur Rasul dengan pelbagai program dan aktiviti di setiap pelusuk negara, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai yang tidak mengenali Rasulullah SAW sama ada dari aspek pemikiran, peribadi, akhlak, pendekatan dan keseluruhan cara hidup baginda. Dikesempatan yang ada, disaat nafas masih dibadan maka mari bersama-sama kita mencari dan mempelajari sunah-sunah Nabi SAW serta bertekad untuk mengamalkan sunah-sunah tersebut dalam kehidupan seharian kita secara istiqomah. Seseungguhnya Rasulullah SAW bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia sepertima Firman Allah SWT dalam al-Quran, al-Ahzab: 21

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ

Maksudnya:Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan erti kata lain, Rasulullah adalah ‘role model’ bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah itu terletak contoh pemimpin yang baik, contoh bapa yang baik, contoh suami yang baik, contoh jiran yang baik, contoh peniaga yang baik, contoh sahabat yang baik dan banyak lagi. Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam diri Rasulullah.

Selain menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan serta mengamalkan sunah-sunahnya, kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa berselawat kepada baginda. Sepertimana Fiman Allah juga melalui Surah al-Ahzah: 56

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا

Maksudnya:”(Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi) untuk Nabi Muhammad SAW. (Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kalian untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya) iaitu katakanlah oleh kalian, “Allaahumma Shalli ‘Alaa Sayyidinaa Muhammad Wa Sallim”, ertinya, “Ya Allah! Limpahkanlah salawat dan Salam-Mu kepada junjungan kami Nabi Muhammad.

Didalam hadis juga ada menyebut kelebihan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Maksudnya:Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”

 [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Maka bersama-samalah kita membasahi bibir kita dengan selawat kepada Nabi SAW sebagai salah satu tanda kecintaan kita pada Nabi Muhammad SAW. Dikesempatan ini kami daripada pihak Masjid Taman Sutera mengucapakan Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam di seluruh dunia dengan tema Maulidur Rasul tahun ini “Menyantuni Ummat Membawa Rahmat” Maka bersamalah kita merenungi serta menyelami kembali sirah Nabi Muhammad SAW serta mengkaji peranan yang yang pernah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam membangunkan umat segagat.

UCAPAN IKHLAS DARIPADA MASJID TAMAN SUTERA KAJANG : SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 2018