Cabutan Syarahan oleh:
KETUA Pegawai Istinbat Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri,
Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin
pada Majlis Pelancaran Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid
pada hari Khamis, 17 Syaaban 1436 Hijrah / 4 Jun 2015 Masihi
bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Sembahyang dan masjid adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan umat Islam. Masjid menjadi tempat perhimpunan umat Islam khususnya untuk menunaikan ibadat sembahyang. Masjid juga menjadi pusat memaju dan menyatukan umat Islam melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti mengadakan halaqah ilmu, majlis-majlis tazkirah, bertadarrus al-Qur’an, permesyuaratan dan sebagainya.

Ringkasnya, masjid adalah menjadi tempat menyuburkan keimanan dan ketaqwaan supaya kehidupan kita mengikut landasan yang berkat dan diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Maka, ungkapan ”kita membina masjid”, maknanya kita membina atau menyediakan tempat perhimpunan umat Islam untuk beribadat, berhalaqah ilmu, bertadarrus al-Qur’an bermesyuarat dan lain-lain amal kebajikan.

Membina masjid tidaklah sama seperti membina bangunan-bangunan yang lain seperti membina rumah, sekolah, pejabat dan seumpamanya. Kita sahaja yang tidak nampak atau benar-benar menghayati perbezaan tersebut. Lebih-lebih lagi apabila bangunan masjid yang dilihat itu hanya merupakan bangunan tambahan atau sekadar dibuat pembaikan atau pengubahsuaian.

Apa yang kita nampak, hanyalah bangunannya yang baru sebagaimana juga kita melihat bangunan sekolah baru, pejabat baru dan seumpamanya. Berbanding halnya perasaan kita ketika melihat berdirinya sebuah hotel mewah, shopping center, bangunan tinggi pencakar langit, taman rekreasi, panggung wayang mewah dan seumpamanya. Kita akan lebih teruja, lebih rasa bahagia dan berasa puas apabila melihat bangunan-bangunan seperti itu berdiri. Bahkan baru setakat mendengar khabar tentang projek pembinaan shopping center yang baru pun, perasaan kita sudah membuak-buak dan kita tidak sabar menunggu perasmiannya. Rasa bahagia dan suka kita itu juga diluahkan kepada rakan-rakan dan sahabat handai supaya mereka turut bahagia mendengarnya.

Untuk membuat justifikasi mengenai perkara di atas,mari kita renungkan dan fahami bersama maksud sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, bahawa di zaman pemerintahan Sayyidina Uthman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu, beliau telah membaharui binaan masjid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, namun sebahagian dari penduduk Madinah membantah apa yang beliau lakukan itu kerana mereka lebih suka supaya masjid tersebut dibiarkan sahaja sebagaimana keadaannya ketika itu. Menurut pandangan mereka, masjid tersebut tidak perlu lagi untuk ditambah atau dibesarkan atau diubah suai. Bahkan mereka menyifatkan apa yang dilakukan oleh Sayyidina ‘Uthman itu adalah sesuatu yang berlebih-lebihan. Namun, Sayyidina Uthman bin ‘Affan tetap meneruskan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut. Beliau menolak bantahan tersebut dengan menjelaskan kepada mereka bahawa beliau pernah mendengar Baginda Rasulullah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

‘Sesiapa yang membina masjid kerana Allah, Allah membina baginya rumah di syurga kelak (binaan) seumpamanya.”
(Hadith riwayat Muslim).

Dalam menjelaskan maksud hadith ini, kebanyakan para ulama mengatakan bahawa perkataan yang disebut secara nakirah iaitu ”masjidan” bukan ”al-masjid” adalah membawa makna bahawa masjid yang dimaksudkan di sini adalah meliputi semua masjid sama ada bersaiz besar atau pun kecil. Ganjaran yang sama tetap akan diberikan dengan syarat membina masjid itu dilakukan adalah semata-mata kerana Allah.

Al-Hafiz Ibn Hajr al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari Bi Syarh al-Bukhari, menyatakan bahawa ungkapan ”fil-Jannah” dalam hadis ini adalah sebagai isyarat bahawa orang yang membina masjid itu pasti masuk syurga. Kerana apabila Allah membina untuknya rumah di syurga tentulah untuk orang tersebut tinggal di situ. Maka, sudah tentu dia tidak akan dapat meninggali rumah berkenaan melainkan setelah dia memasuki syurga terlebih dahulu. Maka ungkapan fil-Janna dalam hadith ini sebagai tanda jaminan Allah kepada orang yang membina masjid bahawa Allah akan memasukkannya ke syurga.

Manakala dalam menjelaskan maksud perkataan dalam ungkapan menurut Imam al-Nawawi bahawa maksud perkataan itu boleh dikaitkan kepada dua makna.

Pertama : Allah Ta’ala membina untuknya rumah sebagaimana masjid yang dibina itu. Bentuk rumah tersebut dari sudut keluasan dan sebagainya tentulah luar biasa sebagaimana yang telah dimaklumi bahawa apa yang ada di dalam syurga itu adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata manusia dan tidak pernah di dengar oleh telinga manusia, bahkan tidak pernah terlintas di hati sanubari dan juga benak manusia.

Kedua : Rumah yang dikurniakan Allah (sebagai ganjaran membina masjid) itu lebih istimewa dari rumah-rumah lain yang ada di syurga. Perbandingan antara keduanya adalah seperti kelebihan masjid ke atas rumah biasa di dunia ini.

Dari kandungan hadith yang dibawakan tadi, jelas kepada kita bahawa Allah menjanjikan ganjaran yang sangat besar kepada orang-orang yang membina masjid, iaitu membina untuk mereka rumah di syurga. Ganjaran tersebut sekali gus sebagai jaminan bagi mereka untuk memasuki syurga. Dengan syarat semua itu dilakukan dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah jua.

Ganjaran yang sangat istimewa inilah yang mendorong Sayyidina Uthman bin ‘Affan bertegas untuk tetap meneruskan pengubahsuaian masjid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di zaman pemerintahannya.

Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai di negara ini sama-sama bertanam saham pahala serta dapat turut menikmati manfaat akhirat yang sangat dihajati.

Secara tradisinya tabung itu difahami sebagai tempat mengumpul wang. Ini bererti kita diberi peluang untuk sama-sama mengumpulkan wang ke tabung berkenaan, atau dengan kata lain kita dialu-alukan untuk menderma atau bersedekah ke tabung berkenaan.Di luar sana sudah ada orang yang menunggu-nunggu agar tidak terlepas peluang berderma atau bersedekah untuk membina masjid ini.

Agaknya orang-orang seumpama ini sudah pun memahami dan menghayati benar-benar akan fadhilat berderma atau bersedekah itu. Bahkan mungkin juga mereka sendiri sudah meni’mati keajaiban bersedekah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tafsirnya :

”Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”
(Surah Saba’ : ayat 39)

Dalam ayat ini, Allah berjanji bahawa setiap harta yang kita sedekahkan atau dermakan sebagai tanda kita bersyukur kepada Allah atas kurnia-Nya maka harta tersebut akan diganti semula. Ini bererti berderma atau bersedekah itu tidak akan mengurangkan harta kita bahkan bukan setakat diganti, ia juga akan ditambah sebagaimana janji Allah dalam firman-Nya yang tafsirnya :

”Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu.”

Berbalik kita kepada memperkatakan tabung pembinaan masjid ini, kita menyebut pula ungkapan ”saham pahala”. Ini bermakna wang-wang yang dikumpul melalui tabung tersebut akan dibelanjakan secara khusus untuk amal kebajikan, iaitu membina masjid atau membaiki masjid untuk mendapatkan dividen yang berupa ganjaran pahala. Maka, apabila banyak wang yang kita sumbangkan maka sudah setentunya akan banyaklah saham pahala yang akan kita terima. Hakikat perkara ini disebut dengan jelas oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Tafsirnya : ”Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat). Maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya.”
(Surah al-An’am : ayat 160)

Menurut Imam at-Thabari, ungkapan itu bermakna Baginya sepuluh kebajikan sebagaimana kebajikan yang telah dilakukannya.

Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi ganjaran yang lebih istimewa sebagaimana tafsirnya :

”Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, Lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(Surah al-Baqarah : ayat 261)

Dari maksud ayat ini, kita boleh bayangkan betapa besarnya pulangan derma atau sedekah yang diberikan kerana mengharapkan redha Allah itu. Jika misalnya wang derma satu ringgit itu diumpamakan sebagai sebiji benih sebagaimana dalam ayat di atas, ini bermakna apabila kita bersedekah satu ringgit, satu ringgit itu akantumbuh berkembang menjadi tujuh ringgit. Setiap satu ringgit dari tujuh ringgit itu pula akan menghasilkan seratus ringgit. Ini bermakna seratus darab dengan tujuh akan menghasilkan totalnya berjumlah tujuh ratus ringgit.

Itu bagi derma satu ringgit betapa yang kita dermakan atau sedekahkan itu dua ringgit, sepuluh ringgit, seratus ringgit atau seribu ringgit, tentulah lebih menguntungkan. Ini dividen fix yang kita tidak perlu lagi ragu-ragu mengenainya kerana yang berjanji memberinya ialah Allah yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah.

Satu perkara lagi yang perlu disentuh di sini ialah, menurut para ulama, apabila berdirinya sebuah masjid maka bangunan tersebut dengan sendiri disifatkan sebagai wakaf. Maka derma atau sedekah yang menghasilkan berdirinya sebuah masjid itu sudah menjadi suatu amal jariah. Pahala suatu amal jariah tidak akan putus sekalipun orang yang empunya amal jariah itu telah meninggal dunia. Perkara ini disebut dengan jelas oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabdanya :

Maksudnya : ”Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah darinya akan amalnya melainkan tiga perkara, iaitu melainkan sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak saleh yang mendoakan untuknya.”
(Hadith riwayat Imam Muslim).

Ini membawa makna bergandanya fadhilat menderma untuk membina masjid ini.

Cuma, dari apa yang diperkatakan tadi, mungkin sahaja akan timbul persoalan, iaitu ganjaran yang dijanjikan Allah kepada orang yang membuat masjid itu adalah ganjaran yang sangat besar dan tinggi nilainya, iaitu Allah membina untuknya rumah di syurga. Tentu sahaja ganjaran sedemikian hanya khas bagi mereka yang mampu membina sebuah masjid dari hartanya sendiri. Menurut andaian ini, adalah tidak tepat untuk dikatakan ganjaran tersebut juga akan diberi kepada orang-orang yang hanya ikut-ikut menderma dengan kadar yang sedikit. Seperti menderma hanya satu ringgit atau dua ringit atau sepuluh ringgit. Kalau banyak pun hanya lima puluh ringgit sahaja. Jika mengambil kira lagi belanja membina masjid masa kini, duit yang kita sumbangkan itu tidak pun cukup untuk membangun sepohon tiang masjid. Maka, orang kaya sahajalah yang layak untuk menerima ganjaran yang istimewa tersebut.

Untuk mencerahkan keraguan seumpama ini, marikita sama-sama fahami penjelasan para ulama mengenainya.

Al-Hafiz Ibn Hajr al-‘Asqalani juga dalam kitabnya yang sama, iaitu menyebut bahawa ganjaran membina masjid itu tetap juga akan diterima oleh pembuatnya sekalipun ia sangat kecil. Sehingga disebut yang bermaksud ”Sekalipun sebesar sarang burung merbuk.”

Ungkapan ini terkandung dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dan juga disebut dalam hadith riwayat Ibn Hibban dan Bazzar daripada abi Dzarr Radhiallahu ‘Anhu.

Para ulama menyifatkan ungkapan ”Sekalipun sebesar sarang burung merbuk” ini sebagai bahasa mubalaghah (ungkapan yang melebihi dari keadaan yang sepatutnya).
Sedangkan secara logiknya, saiz sarang burung merbuk yang digunakan untuk bertelor dan mengeram itu tidaklah sebesar mana dan jelas tidak pun cukup untuk melakukan sujud ketika sembahyang. Namun pengertian yang hendak dikhabarkan dari ungkapan ini sebenarnya ialah sekecil manapun sumbangan kita dalam membina masjid itu tetap diperkirakan oleh Allah ganjarannya. Subhanallah, demikian perhatian dan kemurahan Allah terhadap orang yang melibatkan diri dalam pembinaan masjid ini.

Sebenarnya kita tidak perlu curiga mengenainya. Kerana perkara ini ada ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firmanNya yang Tafsirnya :

”Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
(Surah Az-Zalzalah : ayat 7).

Jangankan melibatkan diri secara langsung seperti menderma atau bersedekah untuk membina masjid itu tidak mendapat ganjaran, sedangkan orang yang menunjukkan atau memberitahu atau mengajak orang lain supaya berderma pun insya Allah akan mendapat ganjaran yang sama sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya :

Maksudnya : ”Sesiapa yang menunjukkan kepada perkara kebaikan nescaya dikurniakan kepadanya pahala sebagaimana pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut.”
(Hadith riwayat Muslim).

Dengan wujudnya Tabung Dana Pembinaan Masjid ini, kita sewajarnya rasa bersyukur kepada Allah kerana dapatlah juga kita sama-sama bertanam saham untuk mendapat pahala kebajikan melaluinya.

Kita perlu merebut peluang ini supaya kita sendiri dapat merasa sendiri keajaiban sedekah itu dan dengan berderma atau bersedekah untuk pembinaan masjid ini kita akan mendapat faedah tiga dalam satu ini, iaitu :

i. Fadhilat mendapat rumah di syurga yang mana rumah tersebut mempunyai kelebihan dari rumah-rumah lain yang ada di syurga sebagaimana kelebihan masjid ke atas rumah biasa di dunia ini.

ii. Keuntungan yang berlipat ganda dari wang yang disedekahkan atau didermakan sehingga mecapai tujuh ratus kali ganda.

iii. Amal jariah yang tidak putus pahalanya sekalipun sudah meninggal dunia.

Kelebihan yang dinyatakan ini belum lagi mengambil ganjaran mengajak orang supaya menderma ke tabung berkenaan dan belum juga mengambil kira ganjaran yang diperhitungkan dari manfaat masjid yang dibina. Seperti masjid tersebut digunakan untuk tempat sembahyang, berhalaqah ilmu, bertadarrus al-Qur’an dan lain-lain kebajikan. Lebih-lebih lagi berderma atau bersedekah itu dilakukan di bulan Ramadan. Semua ini akan menyuburkan lagi saham pahala orang yang menderma ke tabung berkanaan.

Mohon maaf, jika terdapat kesilapan tutur kata serta suruk langkah yang tidak sesuai dalam menyampaikan ceramah ini. Sekian.


Sumber:

http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Rencana/NewDisplayForm.aspx?ID=337&ContentTypeId=0x0100AB69AA555002494AB2FB40905279B027